Kanak-kanak Melecur Tersiram Sup Panas Ketika Makan Di Restoran Stimbot

sumber : sedutan video

Baru-baru ini tersebar sebuah video di media sosial yang memaparkan seorang budak lelaki tersiram sup panas terkena kanak-kanak ketika satu keluarga itu sedang menjamu selera di sebuah restoran stimbot. 
 
Menurut paparan video, ketika sedang menunggu makanan dihidangkan, tanpa diduga seorang pelayan yang membawa periuk sup panas tiba-tiba tergelincir akibat lantai licin dan sup panas yang dibawanya tertumpah pada kanak-kanak yang kebetulan duduk berhampiran kawasan lalu lalang. 
 
Bagaimanapun, video itu tidak menunjukkan tempat dan tarikh kejadian itu berlaku. 
 
Ketika kejadian, seorang pelanggan wanita yang duduk di sebelah tempat duduk mangsa segera mengangkat budak lelaki yang menjerit kesakitan dari tempat duduknya.
 
Sementara itu, pelayan terbabit pula kelihatan panik dan gelisah dengan situasi yang berlaku sambil memohon maaf. 
 
Netizen yang memuat naik video itu tidak menyatakan tahap kecederaan yang dialami oleh budak lelaki itu, namun rata-rata netizen berpendapat situasi yang berlaku amat menakutkan.
 
Ada juga netizen menasihatkan jika menjamu selera di luar adalah lebih selamat membiarkan kanak-kanak duduk di sebelah dalam meja makan. Ini kerana tempat duduk di sebelah luar meja amat berisiko.- CARI