RAMBUT TAK ADA, MACAM MANA NAK MENYANYI? – ELYANA

 

PENYANYI Elyana membuat kejutan apabila mengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Pengumuman itu dibuat Elyana sebaik namanya diumumkan tersingkir dari program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur, malam Ahad.

Ditemui sebaik acara selesai, Elyana berkata, dia tidak mahu orang ramai bersedih dengan apa yang dikongsikan itu. Ayuh kita dengarkan temubual bersama penyanyi berusia 30 tahun ini.

sumber:mstar

‘Doktor pernah kata saya boleh hidup setahun lagi’

KUALA LUMPUR: Penyanyi Elyana mendedahkan menghidap kanser limfoma atau kelenjar tahap empat ketika diumumkan tersingkir daripada musim keempat Gegar Vaganza keempat (GV4), malam tadi.

Elyana memberitahu dia disahkan menghidap kanser tahap kedua sejurus selepas melahirkan cahaya mata sulung, Cinta Sumayyah, kira-kira tujuh tahun lalu.

“Saya tidak mahu menyembunyikan apa-apa daripada peminat, oleh itu secara spontan saya membuat pengumuman mengenai kanser yang saya hidapi.

“Sudah tujuh tahun saya berjuang dengan kanser Limfoma dan sekarang hanya mampu berdoa kepada Allah selepas puas berikhtiar.

“Ada satu ketikanya, saya menghilangkan diri kerana berubat, namun kos perubatan kimoterapi memakan sejumlah wang yang besar. Jadi saya memilih untuk menggunakan alternatif lain,” katanya kepada BH Online.

Elyana berkongsi, dia turut fobia untuk tidur pada sebelah malam kerana takut tidak dapat berjumpa dengan anaknya lagi.

Malah, Elyana turut mengingatkan anak perempuannya mengenai kanser yang dihidapinya hampir setiap hari.

“Saya fobia hendak tidur malam kerana takut tidak dapat melihat dan berjumpa dengan anak saya lagi. Itu saja ketakutan saya hampir setiap hari,” kata Elyana.

Dia turut memberitahu, kehilangannya dalam radar dunia seni kerana menjalani rawatan dan berada dalam keadaan lemah.

“Saya tahu ada yang kata saya sombong tolak persembahan semua, sedangkan badan saya ketika itu sedang mengembang dan rambut gugur.

“Doktor beritahu saya ketika itu saya hanya ada setahun untuk hidup. Saya nekad berhenti kimo dan cabar diri saya untuk berjuang. Syukur umur saya panjang sampai hari ini,” katanya yang mengingatkan pesakit kanser yang lain agar terus positif berjuang melawan penyakit itu.

Doa Elyana sembuh, kongsi petua lawan barah

KUALA LUMPUR: Pengakuan penyanyi, Elyana, sebagai penghidap penyakit kanser limfoma tahap empat sejak tujuh tahun lalu membuatkan ramai terkejut dan bersimpati.

Apatah lagi dalam pendedahannya pada sidang media selepas persembahan di Gegar Vaganza musim keempat (GV4), malam tadi, beliau turut meluahkan ketakutan tidak dapat melihat anaknya keesokan hari hingga enggan melelapkan mata.

Begitupun, Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, yang juga ibu kepada seorang cahaya mata, baru mencecah usia enam tahun ini sebenarnya dilihat tetap tabah berdepan ujian hidup.

Menerusi berita berhubung pendedahan penyanyi itu, BH Online yang berkongsi kisah perjuangan Elyana menerusi Facebook (FB) awal pagi tadi turut menerima pelbagai maklum balas daripada netizen.

Sejak berita berjudul ‘Doktor pernah kata saya boleh hidup setahun lagi’ dimuatnaik di FB BH Online kira-kira 11 jam lalu, ia sudah dikongsi 1,180 orang dengan lebih 28,000 ‘likes’ selain 550 komen.

Rata-rata mendoakan kesejahteraan penyanyi Kalis Rindu itu dan memberikan kata-kata semangat supaya beliau terus kuat melawan penyakit dihidapinya itu.

Pada masa sama, tidak kurang mereka yang kagum melihat kekentalan jiwanya berdepan ujian berkenaan.

Antara yang meninggalkan komen juga ialah mereka yang pernah melalui pengalaman bertarung kanser. Selain berkongsi rasa, ada di antara mereka mengusulkan kaedah rawatan bersesuaian.

Malah, ada peminat dikenali sebagai Nor Hayati Shariff mengajak orang ramai memberi sokongan terhadapnya dengan makan di kedai penyanyi itu di Alam Budiman U10.

“Anak memang suka sebab kedai Elyana sedap. Sederet dengan 7-Eleven dan dibuka waktu petang. Warga Nusa Rhu, Cahaya SPK, Sunway Kayangan, Sunway Suria, Bukit Jelutong, Puncak Perdana, Puncak Alam dan Meru jom singgah Kedai Makan,” katanya.

Seorang peminat lain, Siti Zubaidah yang juga seorang pesakit yang sudah bebas kanser, meminta penyanyi terbabit terus kuat semangat berjuang melawan penyakit itu.

“Jangan sedih. Kuatkan semangat. Kakak dulu pun kanser limforma tahap empat. Kita diuji menunjukkan Allah sayang kita. Kakak dulu jalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kali. Alhamdulillah sekarang kakak sihat,” katanya.

Zulkifly Muhammad pula berharap Elyana terus tabah menghadapi ujian Allah, malah yakin setiap penyakit ada penawarnya asalkan terus berusaha dan mencari pertolongan-Nya.

Sumber – BH online