RUPA-RUPANYA BANYAK CERITA DALAM ISRAK MIKRAJ PALSU? INI FAKTA YANG KORANG KENA TAHU

 

Bila nak dekat akhir bulan Rejab, kita akan selalu dengar pasal ceramah-ceramah agama di masjid dan surau tentang peristiwa Israk Mikraj. Ini kerana, kebanyakan orang mengatakan yang peristiwa Israk dan Mikraj ni berlaku pada 27 Rejab. Walaupun begitu masih ada perselisihan pendapat mengenai perkara ini (akan kami ceritakan nanti).

Secara mudahnya, Israk bermaksud perjalanan Rasulullah SAW pada waktu malam dari Masjid al-Haram, Mekah ke Masjid al-Aqsa, Palestin. Manakala Mikraj pulak adalah perjalanan Nabi dari Masjid al-Aqsa naik ke langit sampailah ke Sidratul Muntaha dan mendapat perintah dari Allah SWT untuk umat Muhammad bersolat 5 kali sehari.

Masjidil Haram & Masjidil Aqsa antara masjid terutama dalam Islam. Imej dari ahtribune.com

Walaupun begitu dalam al-Quran, hanya kisah Israk diceritakan secara jelas, manakala Mikraj pulak tidak jelas tapi hanya tersirat. Ayat yang menceritakan Israk adalah dalam Surah Israk ayat 1.

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” – Surah Israk:01.

Manakala Mikraj pulak pada surah yang sama pada ayat yang ke 60:

“Dan (ingatlah) ketika Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), bahawa sesungguhnya Tuhanmu meliputi akan manusia (dengan ilmuNya dan kekuasaanNya; dan tiadalah Kami menjadikan pandangan (pada malam Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai satu ujian bagi manusia; dan (demikian juga Kami jadikan) pokok yang dilaknat di dalam Al-Quran; dan Kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semuanya itu tidak menambahkan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau.” – Surah Israk:60.

Oleh itu, jom kita luangkan masa mengenang kembali kisah perjalanan hebat Rasulullah SAW ini. Mungkin lebih baik untuk kita ambil tahu dulu kenapa Israk dan Mikraj ini dikurniakan oleh Allah SWT kepada baginda. Ceritanya bermula apabila…

Nabi berasa sangat sedih dengan ujian yang menimpanya

Sebenarnya sebelum terjadinya Israk dan Mikraj, dah terjadi 4 peristiwa besar yang menjadikan Nabi berasa sedih dan sangat dukacita. Perkara pertama berlaku apabila bapa saudara yang paling disayangi Rasulullah, Abu Talib meninggal dunia. Apa yang lebih menyedihkan baginda adalah apabila Abu Talib meninggal dunia dalam keadaan tak beriman kepada Allah. (Ada jugak yang dakwa Abu Talib meninggal dalam Islam, klik sini untuk tahu lebih lanjut.)

Sebelum ni, SOSCILI ada tulis pasal kisah 5 insan musyrik di zaman Rasulullah, termasuklah Abu Talib. Klik imej kalau nak tahu lebih lanjut.

Belum selesai dengan kesedihan kehilangan pakciknya. Rasulullah diuji lagi apabila isteri yang paling dikasihinya, Khadijah binti Khuwailid meninggal dunia. Untuk maklumat, sebelum Khadijah meninggal dunia, Nabi Muhammad tak pernah kahwin lain, tapi hanya selepas Khadijah meninggal dunia barulah Nabi berkahwin lain.

“Satu hari dalam hadis Bukhari, adik kepada Khadijah namanya Halah binti Khuwailid, dia ni satu hari (lepas Khadijah dah wafat) dia datang ke rumah Rasulullah dan bagi salam untuk mintak masuk. Nabi dengar dari dalam rumah, suaranya sama dengan suara Khadijah, Nabi pun terkejut, Nabi ingatkan Khadijah. Aisyah dengar dan nampak Nabi terkejut, Aisyah kata: ‘Nak buat apa teringat dengan orang tua yang dah takde tu? Dia dah wafat pun dan Allah dah ganti dengan orang yang lebih baik dari itu.’

…Nabi kata (jawab) apa? ‘Tuhan tak pernah bagi yang lebih baik daripada Khadijah kerana dia beriman dengan aku, ketika mana semua orang tak percaya dekat aku. Dia berikan aku hartanya, untuk aku guna dalam dakwah aku, ketika semua orang tak bagi harta mereka kepadaku dan aku diberikan zuriat darinya, yang mana aku tak dapat dari isteri-isteri lain’.” – Dr Rozaimi Ramlee, Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Begitulah sayangnya Rasulullah SAW kepada Khadijah. Tak ada sesiapa yang boleh menggantikan tempat Khadijah di sisi Rasulullah SAW. Seterusnya, Nabi berasa sedih lagi bila pihak Quraisy Mekah adakan perjanjian untuk boikot orang-orang Islam di Mekah. Boikot ni berlaku dengan cara tak jual barang, tak beli barang dan tak buat sebarang urus niaga dengan orang Islam. Akibatnya, ramai orang Islam yang menderita.

Keadaan kawasan makam Khadijah suatu masa dulu. Imej dari abbanitour.com

Peristiwa keempat pulak berlaku apabila Rasulullah berdakwah kepada penduduk Thaif. Masa di Thaif, dakwah Rasulullah tak diterima oleh penduduk Thaif. Malah, Nabi jugak dibaling batu oleh mereka.

“(bila) Nabi pergi ke Thaif, tidak ada rumah di Thaif, melainkan Nabi ketuk kesemuanya. Nabi ajak kepada Islam. Orang Thaif bukan saja enggan menerima Islam, bahkan mereka menyuruh budak-budak dan anak-anak mereka yang tak tahu apa, berada di kiri dan kanan jalan, mereka melontar (batu ke arah) Nabi SAW. Sehingga luka dan darah itu turun ke tumit baginda.” – Dipetik dari ceramah Dato’ Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis).

Itulah 4 peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah SAW. Sehingga dikatakan pada tahun itu digelarkan sebagai tahun dukacita. Walau bagaimanapun, Allah SWT menjawab pengaduan dan rintihan Nabi itu dengan satu perkara yang sangat istimewa. Ia adalah peristiwa agung apabila terjadinya Israk dan Mikraj. Walaupun begitu, masih ada persoalan bila berlakunya Israk dan Mikraj ini.

Tak ada hadis sahih yang kata bila Israk dan Mikraj berlaku

Kalau kita tengok kalender kita, kita akan dibagi tahu yang Israk dan Mikraj terjadi pada 27 Rejab. Walaupun begitu, tak ada tarikh khusus yang mengatakan bila berlakunya peristiwa ini. Hal ni kerana, ulama masih berselisih pendapat tentang bila sebenarnya berlaku Israk dan Mikraj.

Antara pendapat-pendapat itu adalah:

Pendapat pertama kata, Israk dan Mikraj berlaku pada tahun pertama Nabi dilantik menjadi Rasul. Pendapat ini disokong oleh Imam at-Tabari.
Pendapat kedua pulak kata, ia terjadi pada tahun ke 5 selepas Nabi dilantik menjadi Rasul. Pendapat ini disokong oleh beberapa orang ulama termasuklah Imam Nawawi dan Iman al-Qurtubi.
Manakala pendapat ketiga kata, ia terjadi pada malam ke 27 bulan Rejab pada tahun ke 10 kerasulan Nabi Muhammad SAW.

Tarikh Israk & Mikraj yang dah ditetapkan dalam kalender negara kita. Imej dari Malaysia Tercinta.

Walaupun begitu, menurut para pengkaji pendapat ketiga-tiga ni tak begitu kuat. Ini kerana para ulama dan sarjana dah sepakat yang ibadah solat hanya difardukan selepas kewafatan Khadijah. Jadi maknanya, peristiwa Israk dan Mikraj terjadi selepas kewafatan Khadijah. Sedangkan pendapat-pendapat di atas ni adalah ketika sebelum Khadijah wafat iaitu pada bulan Ramadan tahun ke 10 kerasulan Rasulullah SAW.

Oleh itu, ada lagi tiga pendapat yang dilihat lebih kuat iaitu:

Pada bulan Ramadan, 16 bulan sebelum berlakunya hijrah.
Berlaku pada bulan Muharam, setahun 2 bulan sebelum hijrah.
Ada juga pendapat yang kata, pada bulan Rabiul Awal setahun sebelum hijrah.

“Ketiga-tiga pendapat ini lebih kuat kerana antara setahun, (atau) enam bulan, ketika itu Khadijah telah wafat. Maka logik berlakunya Israk dan Mikraj.” – Dato’ Dr Asri Zainul Abidin(Mufti Perlis).

Walaupun begitu, perselisihan pendapat ini adalah perkara biasa yang jadi di kalangan para sarjana. Apa yang lebih penting adalah keyakinan kita tentang kebenaran Israk dan Mikraj, serta pengajaran yang sepatutnya kita dapat dari peristiwa ini.

Ada macam-macam cerita masa Israk dan Mikraj yang daif dan palsu

Bila dengar pasal Israk dan Mikraj, kita juga kadang-kadang diceritakan dengan pelbagai peristiwa yang dilihat oleh Nabi pada malam itu. Walaupun begitu, masih ada beberapa cerita yang sebenarnya tak sahih. Sebelum tu, jom kita kenal dulu apa itu hadis sahih, daif dan palsu secara ringkasnya:

Hadis sahih – Hadis yang sanadnya (rangkaian periwayatan) bersambung, disampaikan oleh pelapor (rawi) yang adil, sempurna kekuatan ingatan dari awal hingga akhir sanad tanpa ada sebarang percanggahan dan juga kecacatan.
Hadis daif – Hadis lemah yang ada ciri-ciri seperti sanadnya tak bersambung, susur galur pelapornya atau sebahagiannya tak adil dan tak ada hadis lain yang boleh menguatkannya.
Hadis palsu – Satu jenis dari hadis-hadis daif yang direka-reka dan dinisbahkan kepada Nabi Muhammad SAW.

Ada sarjana hadis yang membolehkan hadis daif disampaikan kepada orang ramai, tapi tidak untuk hadis palsu. Tapi hadis daif tu kenalah dengan syarat tak berkaitan dengan akidah, hukum halal dan haram atau hukum-hakam syariat yang lain.

Jangan sebar hadis palsu!

Oleh tu mari kita tengok cerita-cerita dalam Israk dan Mikraj Nabi, sama ada ia betul atau tidak.

Nabi nampak dunia seperti wanita tua 

“Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”

Hadis ni dikatakan lemah dan takde penguat. Malah penyampai cerita ini, Abdul Rahman bin Hashim adalah orang yang tak dikenali dalam dunia hadis. Manakala Imam Ibnu Kathir dan Imam at-Tabari berkata: ‘Dalam sebahagian lafaznya terdapat sesuatu yang tidak dapat diterima dan pelik’.

Kaum yang tuai hasil tanaman mereka berulang-ulang

“Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.”

Menurut Dr Rozaimi Ramlee, sanad untuk hadis ni tak sahih. Imam Ibnu Kathir jugak ada ulas pasal hadis nidalam kitab tafsirnya dan kata: ‘Hadis ini sebahagian lafaznya sangat ganjil dan pelik… seolah-olah ia adalah kumpulan hadis yang berbeza-beza atau berlaku ketika mimpi dan tidak berlaku ketika peristiwa Israk Mikraj’.

Kaum yang bibir mereka seperti unta

“Pada malam aku (Rasulullah) di-Israkkan oleh Allah, aku melihat kaum yang bibirnya laksana bibir unta. Dan sesungguhnya ada malaikat yang diserahi tugas menarik bibir mereka. Kemudian mulut mereka itu diisi dengan batu yang besar dan nanti akan keluar dari punggung mereka. Lalu aku (Muhammad) bertanya: “Wahai Jibril, siapakah itu?” Jibril menjawab: “Mereka adalah orang-orang yang memakan harta anak yatim dengan zalim.”

Kalau dilihat dalam al-Quran surah an-Nisa’ ayat 10 memang dikatakan yang hukuman untuk orang yang makan harta anak yatim secara zalim adalah telan api. Tetapi menurut Dr Rozaimi Ramlee, hadis tentang perkara ni dalam peristiwa Israk dan Mikraj adalah terlalu daif dan tak sahih.

Kaum yang gunting lidah dan bibir mereka berulang-ulang

“Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka, (ia) kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.”

Imam Ibnu Kathir menilai hadis ini sebagai ganjil dan pelik. Manakala Imam az-Zahabi berkata: ‘Hadis ini munkar (palsu) yang menyerupai cerita-cerita dari panglipulara. Ia diberitahu untuk disampaikan cerita (yang menarik), bukan untuk dijadikan hujah’.

Kaum yang pecahkan kepala mereka berulang-ulang

“Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).”

Cerita ni sebenarnya tak jadi masa peristiwa Israk dan Mikraj, tapi berlaku dalam mimpi Rasulullah SAW. Seperti mana dalam Sahih Bukhari, no: 7074. Hadis sebenarnya adalah:

“…semalam aku bermimpi bahawa telah datang kepadaku dua tetamu, mereka mengajakku keluar dan berkata kepadaku: “mari jalan”, lalu akupun pergi bersama keduanya, lalu kami mendatangi seorang yang lagi berbaring terlentang dan seorang lagi berdiri sambil memegang sebongkah batu, ia melemparkan batu tersebut ke kepalanya (orang yang berbaring terlentang tadi), batu tadi akhirnya memecahkan kepalanya… Adapun orang yang memecahkan kepalanya dengan batu ialah orang yang mengambil al-Quran kemudian membuangnya lalu tidur dari mengerjakan solat yang wajib.”

Gambaran buraq yang salah dan takde kena mengena dengan hadis Rasulullah SAW. Imej dari harekrsna.de

Itulah antara cerita-cerita daif dan palsu yang dikaitkan dengan peristiwa Israk dan Mikraj. Walaupun begitu, masih ada beberapa hadis yang sahih seperti:

Satu kaum yang cakar muka mereka dalam neraka

“Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

Menurut Dr Rozaimi Ramlee, hadis ini sahih dan diriwayatkan oleh Abu Daud.

Nabi Muhammad bertemu dengan beberapa orang nabi

“Apabila berlakunya Mikraj iaitu Nabi naik ke langit. Nabi naik dari langit pertama hinggalah ke tujuh. Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam, langit 2 (Nabi Isa & Yahya), langit ke 3 (Nabi Yusuf), langit ke 4 (Nabi Idris), langit ke 5 (Nabi Harun), langit ke 6 (Nabi Musa), langit ke 7 (Nabi Ibrahim) dan seterusnya Nabi sampai ke Sidratul Muntaha.”

Hadis Nabi naik dari satu langit ke satu langit ini diriwayatkan oleh Imam Muslim. Hadis ini juga adalah hadis sahih. (Klik sini untuk baca hadis penuh)

Rasulullah memilih antara 2 jenis minuman

“…Sejurus kemudian aku (Rasulullah) masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, tiba-tiba aku didatangi oleh Jibril dengan membawa semangkuk arak dan semangkuk susu. Dan aku pun memilih susu. Lalu Jibril berkata, ‘Kamu telah memilih fitrah’.”

Hadis ini adalah hadis yang sahih dan diriwatkan oleh Imam Muslim.

Betul ke Nabi Muhamad SAW, melihat Allah?

Seperti yang kita tahu, bila Rasulullah SAW sampai ke Sidratul muntaha. Rasulullah SAW bertemu dengan Allah SWT dan diturunkan perintah solat fardu 50 waktu. Tapi bila Nabi turun dan berjumpa dengan Nabi Musa AS, Nabi disuruh minta pada Allah supaya dikurangkan jumlah solat itu. Lepas naik dan turun, akhirnya jadilah solat fardu kepada 5 waktu sehari semalam.

Akan tetapi, ada persoalan yang dibangkitkan iaitu Adakah Nabi melihat Allah ketika di Sidratul Muntaha? Mengenai perkara ni, ia dibahaskan oleh para ulama dan kebanyakan sahabat kata yang Nabi tak melihat Allah SWT.

“Dalam Bukhari, Muslim dan sebagainya, Aisyah ra mengatakan ‘Kalau ada sesiapa yang mengatakan Nabi telah melihat tuhan, (maka itu) bohong’. Cuma dalam hadis ada sebut, (bila) ditanya ‘Adakah engkau (Rasulullah) melihat tuhan pada malam Mikraj itu? Nabi kata, ‘Cahaya, yang aku nampak’. Bukannya tuhan, tapi setakat cahaya, itu sahaja. Bukan tuhan itu bercahaya dan cahaya tu je yang nampak, bukan (begitu). Tapi cahaya yang lainlah, seperti yang dikatakan dalam hadis, ‘Diselebungi oleh warna-warna yang aku (Rasulullah) sendiri tidak tahu hakikatnya’.” – Dipetik dari ceramah Maulana Asri Yusoff.

Bagaimanapun, ada riwayat dari Ibnu Abbas yang mengatakan Rasulullah melihat Allah, tapi hanya dengan mata hati. Walau apapun, perdebatan sama ada Nabi melihat Allah atau tak ini hanyalah satu perkara yang tak perlu dipanjangkan. Cukuplah untuk kita mengambil pengajaran dari peristiwa agung yang dikurniakanNya kepada Rasulullah SAW ini.

Kita kena hati-hati sebelum sebarkan mana-mana hadis yang kita tak tahu kesahihannya

Sebenarnya selain dari kisah-kisah palsu dari peristiwa Israk dan Mikraj, banyak lagi hadis-hadis palsu yang masih disebarkan di sekeliling kita. Menurut Dr Rozaimi Ramlee, tak semestinya hadis dalam kitab itu sahih. Ini kerana, hadis yang tak sahih dalam kitab itulah dipanggil sebagai hadis palsu. Manakala hadis yang takde dalam kitab dipanggil sebagai ‘hadis yang tidak ada asal’.

“…tak semestinya hadis yang ada dalam kitab itu sahih. Contohnya Sunan Tirmidzi, tuan-tuan ketika Imam Tirmidzi tulis kitab sunan, dia bukan nak kumpul hadis sahih. Dia (hanya) nak kumpul hadis-hadis yang digunakan oleh para ulama di zaman dia dalam bab hukum, tak kiralah hadis sahih ke tak sahih. (Tapi) biasanya yang tak sahih dia akan komen. Jadi bukan semua yang ada dalam Sunan Tirmidzi itu sahih, palsu pun ada. Tapi dia bagitahulah itu palsu.” – Dr Rozaimi Ramlee.

Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam menyebarkan mana-mana hadis yang tak terbukti kesahihannya. Ini kerana kita tak nak jadi sebagai salah seorang pendusta agama, malah kita juga akan berdusta atas nama Nabi Muhammad SAW.

Antara buku yang bagus untuk kita miliki. Imej dari akmalfadhil.com

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj adalah satu peristiwa yang menguji keimanan kita kepada Rasulullah SAW. Sebagai umat Muhammad, kita kena percaya dan yakin dengan peristiwa ini kerana ia datang sendiri dari Rasulullah SAW dan tercatat di dalam al-Quran. Ia juga menjadi bukti bahawa Allah mengangkat martabat baginda Rasulullah SAW.

[Artikel ini banyak merujuk ceramah dari Dr Rozaimi Ramlee (Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris), Dr Asri Zainul Abidin (Mufti Perlis) serta buku: Di Sebalik Israk Mikraj (tulisan Dr Hj Anmad Nasir Mohd Yusoff) dan Kenali Hadis Sahih, Dhoif, Palsu (karangan Ibnu Qayyim al-Jauziah).]

kredit: Sos Cili